Monday, August 22, 2011

Intima'.

1. Dia adalah seorang pejuang, pahlawan ternama yang digeruni. Jika berlawan, nescaya padang tempur kelihatan seperti sedang dilanda ribut pasir. Apabila suasana tenang, yang akan kau pandang hanyalah tampang dia di tengah, sedang musuh lain sudah tumbang, rebah bergelimpang.

2. Dia adalah pahlawan terhebat negaranya. Dalam perperangan, biasanya dia akan berjalan paling hadapan. Bukan, bukan dia hendak berlagak. Tetapi campur tangan tentera lain hanya akan menyusahkan pergerakannya. Dan ini adalah arahan yang mesti dipatuhi bagi mereka yang ingin bersama di bawahnya.

3. Hari ini, dia akan berlawan dengan sepuluh orang lawan yang sedikit sahaja kurang kuat berbanding dirinya. Bukan, ini bukanlah cerita kualiti melawan kuantiti yang sudah basi. Perdebatan itu sudah lama mati seperti matinya dia sekarang.

4. Pada lawan pertama, dia berjaya membunuh mudah. Masuk lawan kedua, medan tempur sudah naik debu, dan tentera di bawahnya hanya melihat dari luar. Tiada siapa tahu, masuk lawan kelima, dia sudah penat lalu riwayatnya tamat.

5. Dunia ini memang kejam, tidak mengira siapa baik siapa jahat, hukum alam mesti dipatuhi. Yang kuat akan menang. Tenteranya semakin pening bagaimana hukum ini kini seakan tidak dipatuhi.

6. Hanya jika mereka mengetahui, Kata-kata terakhir yang didengarinya ialah,

"Aku juga ketua sepertimu, tetapi aku turun sebagai tentera yang menggabungkan diri dalam perjuangan. Bukannya sebagai seorang ketua."

0 comments: